My Blog List

Tuesday, 5 May 2015

Terbuang 2

Beberapa minggu sudah berlalu, ibu masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh segera. Setiap kali solat, aku menangis. Ibu pernah pesan, “Kalau nak apa-apa, minta kat Allah. Bercakap dengan Allah.” Waktu itu ibu masih kuat mengejar aku di sekeliling rumah.  Anak ibu yang satu ni. Nakal. Sampai ibu pernah kata “ Nanti dapat anak nakal macam kamu baru tahu”. Aku tersengih nakal.

Teringat dulu sewaktu ibu mula memisahkan aku dari tabiat menghisap ibu jari. Pelbagai cara ibu lakukan untuk membuang tabiat itu. Kebiasaan kanak-kanak cuma akan menghisap jari sehingga usia dua tahun atau lebih tepat ketika mereka mula berpisah dengan susu ibu. Namun, sukar bagi aku.

                Suatu malam, ibu jariku dilumur dengan cili padi. Aku bangun menangis sekuat hati kerana pedas yang melampau. Ibu membasuh jariku semula. Di lumur pula dengan gula. Aku berhenti menangis. Kembali dengan tabiat yang lama. Begitu juga ketika ibu melumur ibu jariku dengan bawang putih. Tetap aku menangis meraung-raung bagai hilang sesuatu. Sehingga ibu terpaksa membasuhnya semula.

                Hari ini aku datang lagi kepada ibu. Semalam ayah menelefon Pak cik Bakar. Keadaan ibu kritikal. Ibu sudah dipindahkan ke wad ICU. Dengan panggilan yang satu itu, kami bergegas sampai ke sini. Ibu tenat. Ketika kami anak-anak ibu mengelilingi ibu, ibu sudah tidak membuka mata. Bibir ibu biru. Tangan ibu sejuk. Nafas ibu turun naik. Alat di sisi ibu menunjukkan angka 60. Denyut nadi ibu yang perlahan. Aku yang tidak mengerti, memegang tangan ibu. Asyik pula rasanya memegang tangan sejuk itu. Sejuk yang menenangkan aku. Ibu tidak bersuara. Wajahnya dihias senyum nipis. Bibir yang biru itu ibarat tersenyum. Manis.

                Tiga hari selepasnya, kami dibawa oleh Pak cik Bakar menaiki van besar. Tiada pula Pak cik Bakar menyebut tujuan perjalanan kami. Dibawa pergi, kami pergi.  Perjalanan yang panjang dirasakan semakin panjang. Entah kenapa seisi van yang bergerak membelah lebuh raya itu bagai menangisi sesuatu. Sunyi tanpa suara. Radio yang biasanya dipasang oleh Pak cik Bakar hari ini tidak lagi berfungsi. Diam. Sehingga kakak tiba-tiba menangis. Gamit bunyinya memaksa aku mengalih pandangan dari tingkap kenderaan yang terbuka. Hati bertanya, “kenapa?”. Pak cik Bakar diam. Puan Rahmah juga diam. Yang tinggal cuma kakak yang menangis tanpa henti dan aku yang masih tidak memahami.


                Perjalanan yang panjang itu berakhir di kampung datuk. Rumah datuk dipenuhi orang kampung yang datang tidak putus. Suram menggigit dasar hati. Ketika langkah pertama menjejak kaki ke dalam rumah besar datuk, baru aku mengerti. Ibu sudah tiada. Yang ada hanya sekujur tubuh kaku berselimut dari kaki hingga ke kepala tidak bersuara. Tiada setitik pun air mata yang tumpah. Dahinya dicium buat kali akhir. Aku anak kecil yang menurut. Belum mampu memahami tangisan di sekelilingku. Itulah juga akhir kali aku memandikan ibu. Tangis mereka bagai hiasan suasana yang suram. Bacaan kalimah suci yang sayup-sayup di telingaku bagai merelakan suatu jiwa pergi dari dunia. Sampai di perkuburan, jiwaku runtun. Air mata mengalir turun dari pipi. Ibarat sungai mengalir tenang. Menyedari ibu benar-benar tidak akan kembali. Sejuk tangan ibu tempoh hari adalah pesan akhir ibu di pipiku. Pesan yang tidak berbunyi. Hanya jiwa kecil ini memahami. Jasad ibu yang pergi. Bukan ibu. 

ps : sila g buat laporan sekarang mak cik.oke

Terbuang

“Umi, nak tambah!” jerit anak kecil dari ruang tamu rumah taman itu. Angin laju menderu meniup daun pintu daripada terletak elok. Daun pintu tetap dibiar terbuka. Kawasan perumahan luar bandar begini tidak merisaukan si ibu untuk melepas bebas anak-anaknya.  Ibu masih bekerja di dapur. Mengemas segala perkakas yang digunakan untuk memasak sejak dari tadi. Belum hilang lelahnya menyediakan sarapan kepada anak-anaknya yang masih kecil. Usai semua pinggan mangkuk disusun di dapur. Dia menghela nafas kemudian bergerak ke ruang tamu untuk bersama-sama anak-anaknya. Ragam pelbagai setiap seorang dari mereka. Namun sayangnya tidak pernah berbeza. Dia ibu yang pengasih. Yang menjadikan aku pada hari ini.

                “Ambil di dapur, intan pandai kan?”. Tangan Ibu mengusap lembut dikepala. Intan tersenyum simpul. Rasa kasih melalui setiap helai rambutnya. Intan bingkas bangun. Mencedok sendiri makanan di dapur. Mereka sudah biasa dilatih begitu.

Cerita Abang Sidi, cerita yang biasa menjadi pilihan Ibu untuk kami tonton bersama. Cerita yang mengisahkan  kisah para anbiya’ di masa dahulu. Ibu menegah kami menonton filem melayu yang tidak menutup aurat dan sebagainya. Jujur, apa yang kami ingin lihat akan ditapis oleh Ibu.

                “Umi, kenapa orang dulu-dulu pakai baju macam tu?” Nazirah bertanya spontan melihat pakaian watak kartun yang ditunjukkan di dalam cerita tersebut, berserban dan berjubah berjalan di tengah padang pasir.

                “Sebab diorang tutup aurat,tutup aurat wajib kan sayang?”, Ibu bersuara perlahan. Sayup terdengar di telinga. Nazirah tidak menjawab. Terus leka menonton cerita tersebut. Abang-abangnya sudah beredar seorang demi seorang dari melekap di hadapan kaca televisyen.

                “Umi!nak keluar…” Laung Ahmad Nazri dan adiknya, Ahmad Zarin. Di tangan masing-masing ada sebiji bola. Ibu berkalih menghadap keduanya.

                “Boleh, solat dulu.” Nazri atau lebih dikenali sebagai Jaie melangkah malas. Dia kuat memberontak. Jiwanya panas. Orang kata, darah muda memang begini.Si Zarin mengekor dari belakang. Pengikut setia Jaie.  Spontan televisyen ditutup. Ibu mengarah semua kami menunaikan solat. Semua menurut tanpa suara.

Selesai solat, Ayah mengetuai bacaan doa. Kemudian mereka bersalaman antara satu sama lain. Ibu bersuara perlahan. Kebelakangan ini ibu selalu batuk-batuk. “Kenapa kita solat sayang?” Ibu menebar pandangan kepada semua anak-anak kecilnya. Jaie yang sulung hanya mencebik. Baru tahun enam ketika itu.

                “Allah suruh.” Nazirah menjawab penuh teruja. Jawapan yang selalu diajar oleh ibu. Ibu menyambung soalan. “Kenapa kita solat sebab Allah?”. Intan membelek corak telekung yang dipakainya. Kemudian bersuara, “Sebab nak Allah sayang, bila Allah sayang, baru masuk syurga.kan umi?” Ibu menyimpul senyum. Mengusap kepala anak-anaknya. Ayah lebih selesa berdiam diri. Ayah hanya akan bercakap ketika perlu.         

Jaie menyuruh Zarin meminta kebenaran ibu mereka sekali lagi. Pantas kedua mereka berlari keluar setelah ‘greenlight’ diberikan oleh ibu. Ibu tersenyum. Adat kanak-kanak usia ini gembira bertemu dunia luar. Bermain dengan penuh bersemangat dan belajar melalui proses itu.

 Aku memandang Nazirah. Isyarat untuk mengajaknya bermain diluar. “Zie, jom main kat padang. Tak pun kita pergi kampung belakang, kejar itik. Engko kan suka itik tu.” Nazirah tersengih. Dia bergegas ke dapur mencari ibu. Mohon izin untuk keluar.

                “Umi!” Laung Nazirah. Laungannya tidak berbalas. Dia mengetuk pintu bilik ibu sambil melaung. Kali ini lebih kuat jeritannya daripada yang pertama. Nazirah mengetuk pintu kuat. Aku bangun menyertai Nazirah. Ayah masih diluar. Mengemas kebunnya di belakang rumah.
                “Umi!” suara kami berpadu. Kali ini mengetuk pintu tandas yang berkunci. Menyangka ibu di dalam. Bising rumah kecil itu dengan suara mereka. Ayah masuk mendengar kecoh kami mencari ibu.
                “kenapa?” Ayah menyoal dari pintu rumah. “ Ayah, Umi mana? Kenapa umi tak keluar dari tadi?.” Soalan aku mengundang kekalutan ayah. Kali ini ayah mengambil giliran melaung nama ibu berulang kali. Wajah cemas terukir di setiap inci wajah ayah. Akhirnya, dengan kudrat lelaki seorang ayah, ayah menolak kuat daun pintu bilik air. Kami melangkah ke belakang. Terkejut dengan tindakan spontan ayah.

                “Allah!Umi!”
****************************************************************

Ibu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah. Ibu menghidap penyakit darah tinggi dan suatu kanser yang belum dapat dikenalpasti oleh doktor. Ibu tergelincir semasa di dalam bilik air. Ini bukan kali pertama ibu dijumpai terkulai. Kali pertama adalah semasa ibu bertugas di sekolah. Ibu dijumpai terkulai di dalam surau sekolah oleh rakan sekerjanya. Ibu semakin hari semakin sakit. Namun, dihadapan kami, ibu paling kuat berdiri dan tersenyum. Langsung tidak tertulis diwajah ibu setiap sakit yang terpalit ditubuhnya. Kami tidak dibenarkan masuk ke dalam wad ibu ditempatkan kerana ibu sedang menjalani pemeriksaan doktor.

                Aku berusia tujuh tahun ketika ini, Nazirah berumur lima tahun, Intan kakak aku yang kedua berumur sepuluh tahun. Zarin si adik bongsu baru berusia tiga tahun. Masih belum mengerti apa-apa. Bila dipanggil datang, kami datang. Disuruh pergi, kami pergi. Aku duduk menunggu dikerusi bersama adik beradikku yang lain. Lena Zarin keletihan semenjak kami tiba di hospital. Lewat jam 11.30 malam. Ibu selesai diperiksa oleh doktor. Ibu ditahan di wad sementara waktu sebelum keadaan ibu kembali stabil seperti sedia kala.

                Aku melihat wajah ayah. Wajah ayah penuh tertulis dengan kerisauan yang bertimpa-timpa. Ayah risaukan kami adik beradik. Siapa pula yang menjaga ibu di sini. Selepas menerima keputusan doktor tadi, ayah tidak henti-henti membuat panggilan telefon. Jam 12 malam itu, seorang rakan ayah,Pak Cik Bakar datang bersama-sama isterinya. Setelah berbual beberapa ketika, ayah menyuruh kami mengikuti pak cik tersebut. Zarin didukung kerana tidak sedar-sedar dari lenanya.

Hanya Jaie  bersuara “Ayah, umi kenapa? Tak balik ke?” Ayah menggeleng. Bagai mampu membaca berat yang menimpa ayah. Jaie bersalaman dengan ayah sebelum menarik kami membontoti pak cik Bakar. Ayah tidak pulang. Dia kembali duduk di kerusi menunggu.

                Tiba dirumah pak cik Bakar, Jaie dan Zarin ditempatkan sebilik. Aku, Intan dan Nazirah tidur di dalam sebuah bilik. Tidak sukar membuatkan kami tidur kerana kami berlima benar-benar keletihan menghadapi hari ini.

                Pak cik Bakar mempunyai seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Sebelum dihantar ke sekolah setiap pagi. Isteri Pak cik Bakar, Puan Rahmah menyediakan telur separuh masak dan milo suam sebagai sarapan pagi. Mereka diamanahkan untuk menjaga kami sementara ibu masih di dalam hospital.

                Suatu pagi, Nazirah meniup-niup air milo di dalam gelasnya. Puan Rahmah bersuara tiba-tiba. “Kakak intan, Nabi larang tiup air yang panas. Kalau panas biarkan sejuk dulu baru minum. Nanti karbon dioksida masuk dalam air. Tak sihat.” Intan meletakkan kembali gelas yang dipegangnya ke meja. Kemudian mengambil beberapa keping roti di atas meja. Namun mindanya masih ligat berfikir untuk menikmati air milo pekat tersebut. Dia mengangkat gelas  berisi milo panas dan bernafas di dalam gelas tersebut.

“Akak, boleh ke bernafas dalam air kalau nak sejukkan air tu?Nabi bagi ke?” Nazirah bertanya perlahan. Intan menoleh memandang adiknya. Kemudian matanya turun melihat gelas minuman adiknya.

“Bukan tak boleh tiup je ke?” Intan menyoal bodoh. Nada yang serupa dengan adiknya. Nazirah menjongket bahu. Tanda tidak tahu. Kemudian dia mengambil gelasnya dan melakukan perkara yang serupa dengan kakaknya. Puan Rahmah yang memasang telinga berpura-pura sibuk menyiapkan telur separuh masak kepada mereka ketawa. Lucu melihat gelagat mereka berdua. Namun dia tidak berhajat menegur, dia hendak mengajar mereka satu persatu.

                Rutin mereka berulang setiap hari. Pagi mereka pergi ke sekolah. Mereka solat berjemaah dengan Pak cik Bakar. Petangnya mereka bermain di taman permainan kawasan perumahan itu. Malam mereka belajar mengaji dengan Puan Rahmah serta anak-anaknya. Puan Rahmah bijak menyusun suasana agar mereka belajar mengenal Allah. Biarpun mereka hanyalah anak kepada sahabatnya. Beberapa kali mereka ke hospital menziarahi ibu. Ibu terlantar tidak terdaya. Wajahnya pucat lesi. Ibu berpesan setiap kali mereka pergi menziarahi ibu di hospital. Pesan Ibu, jaga solat. Pesan ibu lagi. Selalu jadi anak yang soleh dan solehah. Ibu pesan lagi, selalu buat baik dengan semua orang.

                Namun, ibu acap kali mengulang sebaris ayat ini, “Kalau umi takde nanti, Jaie jaga adik-adik. Saling kuat menguatkan. Jangan susahkan ayah. Yang paling penting, jaga hati. Umi sayang anak umi.” sambil tangannya dibawa ke dadanya. Lemah.

                Beberapa minggu sudah berlalu, ibu masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh segera. Setiap kali solat, aku menangis. Ibu pernah pesan, “Kalau nak apa-apa, minta kat Allah. Bercakap dengan Allah.” Waktu itu ibu masih kuat mengejar aku di sekeliling rumah.

(( Ketika musafiran ini diuji. Ketika itu bantuan yang pasti dijanjikan tiba))

...kemudian bersambung...