Beberapa minggu sudah berlalu,
ibu masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh segera. Setiap kali solat,
aku menangis. Ibu pernah pesan, “Kalau nak apa-apa, minta kat Allah. Bercakap
dengan Allah.” Waktu itu ibu masih kuat mengejar aku di sekeliling rumah. Anak ibu yang satu ni. Nakal. Sampai ibu
pernah kata “ Nanti dapat anak nakal macam kamu baru tahu”. Aku tersengih nakal.
Teringat dulu sewaktu ibu mula
memisahkan aku dari tabiat menghisap ibu jari. Pelbagai cara ibu lakukan untuk
membuang tabiat itu. Kebiasaan kanak-kanak cuma akan menghisap jari sehingga
usia dua tahun atau lebih tepat ketika mereka mula berpisah dengan susu ibu.
Namun, sukar bagi aku.
Suatu
malam, ibu jariku dilumur dengan cili padi. Aku bangun menangis sekuat hati
kerana pedas yang melampau. Ibu membasuh jariku semula. Di lumur pula dengan
gula. Aku berhenti menangis. Kembali dengan tabiat yang lama. Begitu juga
ketika ibu melumur ibu jariku dengan bawang putih. Tetap aku menangis
meraung-raung bagai hilang sesuatu. Sehingga ibu terpaksa membasuhnya semula.
Hari
ini aku datang lagi kepada ibu. Semalam ayah menelefon Pak cik Bakar. Keadaan
ibu kritikal. Ibu sudah dipindahkan ke wad ICU. Dengan panggilan yang satu itu,
kami bergegas sampai ke sini. Ibu tenat. Ketika kami anak-anak ibu mengelilingi
ibu, ibu sudah tidak membuka mata. Bibir ibu biru. Tangan ibu sejuk. Nafas ibu
turun naik. Alat di sisi ibu menunjukkan angka 60. Denyut nadi ibu yang
perlahan. Aku yang tidak mengerti, memegang tangan ibu. Asyik pula rasanya
memegang tangan sejuk itu. Sejuk yang menenangkan aku. Ibu tidak bersuara.
Wajahnya dihias senyum nipis. Bibir yang biru itu ibarat tersenyum. Manis.
Tiga
hari selepasnya, kami dibawa oleh Pak cik Bakar menaiki van besar. Tiada pula
Pak cik Bakar menyebut tujuan perjalanan kami. Dibawa pergi, kami pergi. Perjalanan yang panjang dirasakan semakin
panjang. Entah kenapa seisi van yang bergerak membelah lebuh raya itu bagai
menangisi sesuatu. Sunyi tanpa suara. Radio yang biasanya dipasang oleh Pak cik
Bakar hari ini tidak lagi berfungsi. Diam. Sehingga kakak tiba-tiba menangis.
Gamit bunyinya memaksa aku mengalih pandangan dari tingkap kenderaan yang
terbuka. Hati bertanya, “kenapa?”. Pak cik Bakar diam. Puan Rahmah juga diam.
Yang tinggal cuma kakak yang menangis tanpa henti dan aku yang masih tidak
memahami.
Perjalanan
yang panjang itu berakhir di kampung datuk. Rumah datuk dipenuhi orang kampung
yang datang tidak putus. Suram menggigit dasar hati. Ketika langkah pertama
menjejak kaki ke dalam rumah besar datuk, baru aku mengerti. Ibu sudah tiada.
Yang ada hanya sekujur tubuh kaku berselimut dari kaki hingga ke kepala tidak
bersuara. Tiada setitik pun air mata yang tumpah. Dahinya dicium buat kali
akhir. Aku anak kecil yang menurut. Belum mampu memahami tangisan di
sekelilingku. Itulah juga akhir kali aku memandikan ibu. Tangis mereka bagai
hiasan suasana yang suram. Bacaan kalimah suci yang sayup-sayup di telingaku
bagai merelakan suatu jiwa pergi dari dunia. Sampai di perkuburan, jiwaku
runtun. Air mata mengalir turun dari pipi. Ibarat sungai mengalir tenang.
Menyedari ibu benar-benar tidak akan kembali. Sejuk tangan ibu tempoh hari
adalah pesan akhir ibu di pipiku. Pesan yang tidak berbunyi. Hanya jiwa kecil
ini memahami. Jasad ibu yang pergi. Bukan ibu.
ps : sila g buat laporan sekarang mak cik.oke
No comments:
Post a Comment