“Umi, nak tambah!” jerit anak
kecil dari ruang tamu rumah taman itu. Angin laju menderu meniup daun pintu
daripada terletak elok. Daun pintu tetap dibiar terbuka. Kawasan perumahan luar
bandar begini tidak merisaukan si ibu untuk melepas bebas anak-anaknya. Ibu masih bekerja di dapur. Mengemas segala
perkakas yang digunakan untuk memasak sejak dari tadi. Belum hilang lelahnya
menyediakan sarapan kepada anak-anaknya yang masih kecil. Usai semua pinggan
mangkuk disusun di dapur. Dia menghela nafas kemudian bergerak ke ruang tamu
untuk bersama-sama anak-anaknya. Ragam pelbagai setiap seorang dari mereka.
Namun sayangnya tidak pernah berbeza. Dia ibu yang pengasih. Yang menjadikan
aku pada hari ini.
“Ambil di dapur, intan pandai
kan?”. Tangan Ibu mengusap lembut dikepala. Intan tersenyum simpul. Rasa kasih
melalui setiap helai rambutnya. Intan bingkas bangun. Mencedok sendiri makanan
di dapur. Mereka sudah biasa dilatih begitu.
Cerita Abang Sidi, cerita yang
biasa menjadi pilihan Ibu untuk kami tonton bersama. Cerita yang
mengisahkan kisah para anbiya’ di masa
dahulu. Ibu menegah kami menonton filem melayu yang tidak menutup aurat dan
sebagainya. Jujur, apa yang kami ingin lihat akan ditapis oleh Ibu.
“Umi,
kenapa orang dulu-dulu pakai baju macam tu?” Nazirah bertanya spontan melihat
pakaian watak kartun yang ditunjukkan di dalam cerita tersebut, berserban dan
berjubah berjalan di tengah padang pasir.
“Sebab
diorang tutup aurat,tutup aurat wajib kan sayang?”, Ibu bersuara perlahan.
Sayup terdengar di telinga. Nazirah tidak menjawab. Terus leka menonton cerita
tersebut. Abang-abangnya sudah beredar seorang demi seorang dari melekap di
hadapan kaca televisyen.
“Umi!nak
keluar…” Laung Ahmad Nazri dan adiknya, Ahmad Zarin. Di tangan masing-masing
ada sebiji bola. Ibu berkalih menghadap keduanya.
“Boleh,
solat dulu.” Nazri atau lebih dikenali sebagai Jaie melangkah malas. Dia kuat
memberontak. Jiwanya panas. Orang kata, darah muda memang begini.Si Zarin
mengekor dari belakang. Pengikut setia Jaie.
Spontan televisyen ditutup. Ibu mengarah semua kami menunaikan solat.
Semua menurut tanpa suara.
Selesai solat, Ayah mengetuai
bacaan doa. Kemudian mereka bersalaman antara satu sama lain. Ibu bersuara
perlahan. Kebelakangan ini ibu selalu batuk-batuk. “Kenapa kita solat sayang?”
Ibu menebar pandangan kepada semua anak-anak kecilnya. Jaie yang sulung hanya
mencebik. Baru tahun enam ketika itu.
“Allah
suruh.” Nazirah menjawab penuh teruja. Jawapan yang selalu diajar oleh ibu. Ibu
menyambung soalan. “Kenapa kita solat sebab Allah?”. Intan membelek corak
telekung yang dipakainya. Kemudian bersuara, “Sebab nak Allah sayang, bila
Allah sayang, baru masuk syurga.kan umi?” Ibu menyimpul senyum. Mengusap kepala
anak-anaknya. Ayah lebih selesa berdiam diri. Ayah hanya akan bercakap ketika
perlu.
Jaie menyuruh Zarin meminta
kebenaran ibu mereka sekali lagi. Pantas kedua mereka berlari keluar setelah ‘greenlight’
diberikan oleh ibu. Ibu tersenyum. Adat kanak-kanak usia ini gembira bertemu
dunia luar. Bermain dengan penuh bersemangat dan belajar melalui proses itu.
Aku memandang Nazirah. Isyarat untuk
mengajaknya bermain diluar. “Zie, jom main kat padang. Tak pun kita pergi
kampung belakang, kejar itik. Engko kan suka itik tu.” Nazirah tersengih. Dia
bergegas ke dapur mencari ibu. Mohon izin untuk keluar.
“Umi!”
Laung Nazirah. Laungannya tidak berbalas. Dia mengetuk pintu bilik ibu sambil
melaung. Kali ini lebih kuat jeritannya daripada yang pertama. Nazirah mengetuk
pintu kuat. Aku bangun menyertai Nazirah. Ayah masih diluar. Mengemas kebunnya
di belakang rumah.
“Umi!”
suara kami berpadu. Kali ini mengetuk pintu tandas yang berkunci. Menyangka ibu
di dalam. Bising rumah kecil itu dengan suara mereka. Ayah masuk mendengar
kecoh kami mencari ibu.
“kenapa?” Ayah menyoal dari
pintu rumah. “ Ayah, Umi mana? Kenapa umi tak keluar dari tadi?.” Soalan aku
mengundang kekalutan ayah. Kali ini ayah mengambil giliran melaung nama ibu
berulang kali. Wajah cemas terukir di setiap inci wajah ayah. Akhirnya, dengan
kudrat lelaki seorang ayah, ayah menolak kuat daun pintu bilik air. Kami melangkah
ke belakang. Terkejut dengan tindakan spontan ayah.
“Allah!Umi!”
****************************************************************
Ibu dikejarkan ke Hospital
Sultanah Bahiyah. Ibu menghidap penyakit darah tinggi dan suatu kanser yang
belum dapat dikenalpasti oleh doktor. Ibu tergelincir semasa di dalam bilik
air. Ini bukan kali pertama ibu dijumpai terkulai. Kali pertama adalah semasa
ibu bertugas di sekolah. Ibu dijumpai terkulai di dalam surau sekolah oleh
rakan sekerjanya. Ibu semakin hari semakin sakit. Namun, dihadapan kami, ibu paling
kuat berdiri dan tersenyum. Langsung tidak tertulis diwajah ibu setiap sakit
yang terpalit ditubuhnya. Kami tidak dibenarkan masuk ke dalam wad ibu
ditempatkan kerana ibu sedang menjalani pemeriksaan doktor.
Aku
berusia tujuh tahun ketika ini, Nazirah berumur lima tahun, Intan kakak aku
yang kedua berumur sepuluh tahun. Zarin si adik bongsu baru berusia tiga tahun.
Masih belum mengerti apa-apa. Bila dipanggil datang, kami datang. Disuruh
pergi, kami pergi. Aku duduk menunggu dikerusi bersama adik beradikku yang
lain. Lena Zarin keletihan semenjak kami tiba di hospital. Lewat jam 11.30
malam. Ibu selesai diperiksa oleh doktor. Ibu ditahan di wad sementara waktu
sebelum keadaan ibu kembali stabil seperti sedia kala.
Aku
melihat wajah ayah. Wajah ayah penuh tertulis dengan kerisauan yang
bertimpa-timpa. Ayah risaukan kami adik beradik. Siapa pula yang menjaga ibu di
sini. Selepas menerima keputusan doktor tadi, ayah tidak henti-henti membuat
panggilan telefon. Jam 12 malam itu, seorang rakan ayah,Pak Cik Bakar datang
bersama-sama isterinya. Setelah berbual beberapa ketika, ayah menyuruh kami
mengikuti pak cik tersebut. Zarin didukung kerana tidak sedar-sedar dari
lenanya.
Hanya Jaie bersuara “Ayah, umi kenapa? Tak balik ke?”
Ayah menggeleng. Bagai mampu membaca berat yang menimpa ayah. Jaie bersalaman
dengan ayah sebelum menarik kami membontoti pak cik Bakar. Ayah tidak pulang.
Dia kembali duduk di kerusi menunggu.
Tiba
dirumah pak cik Bakar, Jaie dan Zarin ditempatkan sebilik. Aku, Intan dan Nazirah
tidur di dalam sebuah bilik. Tidak sukar membuatkan kami tidur kerana kami
berlima benar-benar keletihan menghadapi hari ini.
Pak
cik Bakar mempunyai seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Sebelum
dihantar ke sekolah setiap pagi. Isteri Pak cik Bakar, Puan Rahmah menyediakan
telur separuh masak dan milo suam sebagai sarapan pagi. Mereka diamanahkan
untuk menjaga kami sementara ibu masih di dalam hospital.
Suatu
pagi, Nazirah meniup-niup air milo di dalam gelasnya. Puan Rahmah bersuara
tiba-tiba. “Kakak intan, Nabi larang tiup air yang panas. Kalau panas biarkan
sejuk dulu baru minum. Nanti karbon dioksida masuk dalam air. Tak sihat.” Intan
meletakkan kembali gelas yang dipegangnya ke meja. Kemudian mengambil beberapa keping
roti di atas meja. Namun mindanya masih ligat berfikir untuk menikmati air milo
pekat tersebut. Dia mengangkat gelas berisi milo panas dan bernafas di dalam gelas
tersebut.
“Akak, boleh ke bernafas dalam
air kalau nak sejukkan air tu?Nabi bagi ke?” Nazirah bertanya perlahan. Intan
menoleh memandang adiknya. Kemudian matanya turun melihat gelas minuman
adiknya.
“Bukan tak boleh tiup je ke?”
Intan menyoal bodoh. Nada yang serupa dengan adiknya. Nazirah menjongket bahu.
Tanda tidak tahu. Kemudian dia mengambil gelasnya dan melakukan perkara yang
serupa dengan kakaknya. Puan Rahmah yang memasang telinga berpura-pura sibuk
menyiapkan telur separuh masak kepada mereka ketawa. Lucu melihat gelagat
mereka berdua. Namun dia tidak berhajat menegur, dia hendak mengajar mereka
satu persatu.
Rutin
mereka berulang setiap hari. Pagi mereka pergi ke sekolah. Mereka solat
berjemaah dengan Pak cik Bakar. Petangnya mereka bermain di taman permainan
kawasan perumahan itu. Malam mereka belajar mengaji dengan Puan Rahmah serta anak-anaknya. Puan Rahmah bijak menyusun suasana agar mereka belajar mengenal Allah. Biarpun mereka hanyalah anak kepada sahabatnya. Beberapa kali mereka ke hospital menziarahi ibu. Ibu terlantar tidak terdaya.
Wajahnya pucat lesi. Ibu berpesan setiap kali mereka pergi menziarahi ibu di
hospital. Pesan Ibu, jaga solat. Pesan ibu lagi. Selalu jadi anak yang soleh
dan solehah. Ibu pesan lagi, selalu buat baik dengan semua orang.
Namun,
ibu acap kali mengulang sebaris ayat ini, “Kalau umi takde nanti, Jaie jaga
adik-adik. Saling kuat menguatkan. Jangan susahkan ayah. Yang paling penting,
jaga hati. Umi sayang anak umi.” sambil tangannya dibawa ke dadanya. Lemah.
Beberapa
minggu sudah berlalu, ibu masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh
segera. Setiap kali solat, aku menangis. Ibu pernah pesan, “Kalau nak apa-apa,
minta kat Allah. Bercakap dengan Allah.” Waktu itu ibu masih kuat mengejar aku
di sekeliling rumah.
(( Ketika musafiran ini diuji. Ketika itu bantuan yang pasti dijanjikan tiba))
...kemudian bersambung...